Thursday, October 21, 2010

Assalamualaikum...



TAJUK:
Ketokohan Seorang Bilal

DISEDIAKAN UNTUK:
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah CTU101

DISEDIAKAN OLEH:
Nama : Haizum Najwa binti Mohd Ali
No Matrik : 2010820638
Kumpulan : ACD1Aa

PROGRAM:
Diploma Perakaunan
(AC110)

TARIKH HANTAR:
21 OKTOBER 2010

Monday, October 4, 2010

En. Shaari Bin Abas

Dewasa ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia mengenai pekerjaan yang mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t. Ramai di antara kita yang memilih pekerjaan hanya semata-mata kerana wang. Manusia terlalu mementingkan wang dari segala-galanya. Terdapat banyak perkerjaan yang mendapat keredhaan Allah, contohnya seperti menjadi bilal masjid. Bilal atau muazzin adalah pekerjan yang menuju ke jalan Allah s.w.t. Antara maksud bilal ialah yang ‘membenarkan’ kerana mereka perlu sentiasa menepati masa melaungkan azan. Tanggungjawab itu adalah amanah dalam mengingat dan mengajak umat Islam untuk mendirikan solat. Dengan erti kata lain, bilal adalah orang yang terpenting untuk ‘mengejutkan’ masyarakat Islam dengan melaungkan azan setiap kali masuknya waktu solat. Umat manusia kadang-kala leka dengan waktu solat mereka. Tanggungjawab seorang bilal itu menjadi lebih besar apabila soal kesihatan diri perlu ditekankan bagi memastikan laungan azan sedap didengar. Antaranya ialah bilal seharusnya memiliki suara yang lantang. Bagi memperolehinya, bilal perlu mendapat tidur yang mencukupi selain memiliki nafas yang panjang. Selain bertugas sebagai seorang yang bertanggungjawab untuk melaungkan azan, bilal juga mempunyai tanggungjawab untuk  menegur bacaan imam sekiranya terdapat kesalahan di dalam bacaannya.
Oleh itu, saya telah memilih seorang bilal dari kampung saya untuk dijadikan sebagai tokoh. Beliau bernama Encik Shaari Bin Abas. Beliau juga dikenali dan lebih mesra dengan panggilan ‘Pak Non’ di kampung saya.  Rumah beliau terletak di alamat Kampung Gial, Mata Ayer, Perlis. Kini beliau sudah berumur 61 tahun. Beliau juga merupakan salah seorang pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) yang telah tamat perkhidmatannya 6 tahun lepas. Kini beliau memegang jawatan sebagai bilal di Masjid Assobirin di Kampung Gial. Beliau telah memegang jawatan ini dari 15 Ogos 2003. Beliau telah memegang amanah ini selama enam tahun dan ini tidak membebankan beliau untuk berulang- alik ke masjid kerana jarak rumahnya dengan masjid agak hampir. Setiap insan di dunia ini mempunyai keluarga sendiri. Begitu juga dengan beliau, beliau telah berkahwin dan telah dikurniakan dua orang anak. Isterinya bernama Latifah Binti Nyan. Puan Latifahmerupakan seorang suri rumah yang berumur 51 tahun. Hasil perkongsian hidupnya bersama dengan isteri tercinta, mereka berdua telah dikurniakan 2 orang anak lelaki. anak-anak beliau kini telah mempunyai pekerjaan sendiri dan hidup berdikari.

Oleh kerana terdapatnya kekosongan jawatan bilal masjid, beliau dengan sukarelanya menawarkan diri untuk menjadi bilal sukarela di masjid itu. Lama-kelamaan, apabila beliau telah bertugas sebagai bilal sukarela masjid di masjid Assobirin, beliau telah dilantik oleh Jawatankuasa Masjid Assobirin Kampung Gial untuk memegang jawatan sebagai bilal tetap dan beliau juga telah diberi elaun. Bagi beliau, wang bukanlah faktor utama untuk beliau menerima jawatan ini, tetapi kerana pahala yang sedang menanti. Sekiranya beliau melaksanakan tugas dan amanah yang telah diberikan kepadanya dengan penuh dedikasi dan amanah maka Allah s.w.t akan memberi ganjaran pahala. Beliau begitu meminati jawatan sebagai seorang bilal kerana beliau berpeluang untuk memperbanyakkan amal ibadat dan mengumpul pahala yang banyak dengan menyeru orang Islam supaya mengerjakan solat setiap kali tiba waktu untuk bersembahyang. Sebagai seorang bilal bukan mudah baginya untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang bilal. Beliau amat disegani penduduk kampung kerana sifatnya yang sentiasa menyedekahkan senyuman kepada orang. 
Sebagai seorang bilal, beliau tidak bertugas hanya sebagai orang yang bertanggungjawab untuk melaungkan azan sahaja, tapi bilau juga bertanggungjawab untuk menegur bacaan imam sekiranya terdapat sebarang kesalahan di dalam bacaan imam. Beliau terpilih untuk menjadi bilal kerana terdapatnya beberapa faktor. Antaranya ialah, kekosongan jawatan bilal dan bilal yang terdahulu sudah berhenti kerana faktor usia yang semakin tua. Bilal yang terdahulu telah berhenti berkhidmat sebagai bilal masjid kerana usianya yang semakin tua serta keadaannya yang semakin uzur. Menurut beliau, tugasnya sebagai seorang bilal tidak begitu membebankan kerana beliau tidak wajib untuk melaungkan azan pada setiap waktu sembahyang pada setiap hari kerana beliau boleh mewakilkan orang lain untuk melaungkan azan. Hal ini kerana, beliau hanya wajib untuk melaungkan azan pada hari Jumaat sahaja. Beliau turut diberi kepercayaan untuk memandikan jenazah orang Islam, memimpin majlis Tahlil Arwah dan bacaan Doa Selamat apabila diminta untuk berbuat demikian.
Di sesetengah kampung pula, bilal akan membacakan Yasin kepada orang yang sakit. Bilal juga harus menghadiri tiap-tiap mesyuarat Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah masjid apabila diadakan mesyuarat. Jawatankuasa Kariah masjid ialah jawatankuasa yang terdapat di setiap masjid di dalam Malaysia. Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk memastikan kerja-kerja di dalam masjid dijalankan dengan sistematik dan fungsi masjid sebagai tempat untuk  melakukan ibadah terlaksana.
Di samping itu, beliau juga akan memangku tanggungjawab sebagai khatib yang akan membacakan khutbah pada setiap hari Jumaat mengikut giliran berdasarkan jadual yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid. Di awal ucapannya semasa membacakan khutbah, beliau akan mengingatkan para muslimin dan muslimat supaya bertakwa kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Selepas itu, barulah beliau akan membacakan tajuk khutbah yang akan dibincangkan pada hari itu di atas mimbar sambil memegang tongkat ketika berdiri kerana itu adalah perkara sunat semasa membacakan khutbah untuk menambahkan lagi pahala yang bakal diperolehnya.
Pada mulanya, beliau merasakan kerja ini sedikit membebankan dirinya disebabkan faktor terpaksa berulang- alik dari rumahnya ke masjid serta tidak dapat meluangkan sepenuh masanya yang terluang dengan keluarganya yang tercinta, maklumlah pekerjaannya sebelum ini sebagai pegawai Jabatan Kerja Raya(JKR) tidak membenarkan beliau bersama keluarga sepanjang masa. Tetapi bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa, beliau yang sudah lama berkecimpung dalam bidang ini merasakan ini salah satu rutin harian yang wajib dilakukannya.
Dalam menjalankan tanggungjawabnya melaungkan azan menyeru orang ramai supaya mendirikan solat, beliau tidak pernah segan silu untuk melaungkan azan malahan berasa seronok setiap kali melaungkan azan kerana dapat meyeru orang ramai untuk mendirikan solat. Disebabkan suaranya yang agak merdu semasa melaungkan azan, ramai orang yang datang ke masjid untuk menunaikan solat secara beramai-ramai diketuai oleh seorang imam. Dalam erti kata lain, solat secara berjemaah kerana melalui ini, mereka akan dapat pahala sebanyak 27 kali ganda yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t.
Beliau menceritakan sedikit sebanyak mengenai beberapa tugas khas bilal di masjid. Antaranya ialah menjaga waktu solat fardhu. Menurutnya bilal yang tidak uzur, wajib melaungkan azan bila tibanya waktu solat fardhu. Antara tempoh bilal memulakan kerja adalah dari pukul 5.00 pagi sehingga pukul 9.00 malam. Bilal juga bertugas untuk melaungkan azan serta Qamat bagi tiap-tiap solat fardhu sehari semalam setiap hari. Malah, bilal juga harus membaca Tarhim dan ayat-ayat suci Al-Quran sebelum azan bagi solat Subuh dan sebelum azan bagi solat Jumaat. Selain itu, bilal juga akan membaca ayat-ayat suci Al-Quran yang tertentu ketika Imam atau Khatib menaiki Mimbar pada solat jumaat. Kelunakan suara ketika mengalunkan azan bukanlah menjadi faktor seseorang itu dipilih untuk menjadi bilal. Hal ini demikian kerana, bilal perlu mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi kerana beliau perlu berada di masjid sebelum masuk waktu fardhu. Lebih-lebih lagi, apabila waktu fardhu Subuh. Hal ini kerana, beliau perlu bangun awal untuk mengazankan solat Subuh.

Menurutnya lagi di sesetengah masjid pula, apabila Imam atau Khatib sedang duduk antara dua khutbah ketika solat Jumaat dan solat Hari Raya, bilal akan membaca selawat dan doa ringkas. Malah, sekiranya Imam yang bertugas tidak dapat datang ke masjid untuk mengimamkan solat, bilal akan menggantikan Imam sebagai Imam Rawatib atau Imam Tarawikh dalam bulan Ramadhan. Selain itu, bilal juga mempunyai tugas untuk berselawat ketika solat Tarawikh di bulan Ramadhan. Bilal juga akan mengajar Muqaddam dan Al-Quran kepada kanak-kanak dan akan mengajar perkara-perkara Fardhu Ain kepada orang dewasa di waktu-waktu yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, di masjid Assobirin, orang dewasa yang ingin mempelajari mengenai ilmu Fardhu Ain akan berkumpul di masjid pada malam Selasa selepas solat Maghrib.
Selain daripada mengajar membaca Muqaddam, bilal juga akan mengajar dan berlatih membaca Marhaban dan Berzanji. Berzanji atau barzanji bererti suatu doa-doa, puji-pujian dan penceritaan riwayat Nabi Muhammad s.a.w yang dilafazkan dengan suatu irama atau nada yang biasa dilantunkan ketika kelahiran, pernikahan dan maulib Nabi Muhammad. Manakala, isi berzanji pula ialah bertutur tentang kehidupan Nabi Muhammad yang disebut berturut-turut iaitu salasilah keturunannya ketika kanak-kanak sehinggalah Baginda diangkat menjadi rasul. Malah, di dalamnya juga mengisahkan sifat-sifat mulia yang dimiliki Nabi Muhammad serta berbagai peristiwa untuk dijadikan teladan dan supaya dapat dicontohi oleh umat manusia.

Beliau telah mengaplikasikan suaranya yang merdu untuk menyertai diri dalam beberapa pertandingan azan yang telah dianjurkan di dalam negeri Perlis. Sebagai seorng wakil masjid di kampung beliau telah melakukan yang terbaik dalam pertandingan tersebut. Hasil usahanya yang gigih tersebut, beliau telah berjaya memenangi beberapa pertandingan azan yang disertainya. Meskipun beliau telah berjaya memenangi beberapa pertandingan azan, namun beliau tidak pernah sombong dan takbur kerana beliau yakin kejayaan yang diperoleh itu adalah kurniaan Allah s.w.t kepada beliau. Berkat usaha beliau, nama Masjid Assobirin Kampung Gial. Menurut beliau, sekiranya terdapat masa lapang, beliau akan meluangkan masa lapangnya di masjid dengan membaca Al-Quran pada waktu malam. Manakala, pada waktu  pagi pula, beliau akan menghabiskan masanya di sawah padi kerana dengan bekerja sebagai pesawah padi, beliau boleh menambah sumber rezeki dengan cara yang halal. Pada waktu tengahari pula, beliau akan meluangkan masa untuk bersama-sama dengan isteri dan keluarganya yang tercinta.        
Sepanjang enam tahun bertugas sebagai bilal di Masjid Assobirin Kampung Gial, beliau tidak pernah terlepas daripada tanggngjawab beliau untuk melaungkan azan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Beliau juga sentiasa tekun menunaikan tanggungjawabnya sebagai bilal tanpa mengenal erti penat dan jemu. Tidak hairanlah mengapa beliau telah dilantik oleh Jawatankuasa Kariah masjid untuk memegang jawatan bilal kerana sifat-sifat beliau yang berdisiplin dan bersungguh-sungguh dalam menyeru orang ramai untuk menunaikan solat fardhu apabila tiba waktunya. Beliau amat disegani dan dihormati oleh penduduk setempat kerana sikap beliau yang tidak sombong dan bersikap rendah diri. Walaupun beliau   mempunyai banyak tanah dan sawah padi, beliau hanya memilih kehidupan yang sederhana dengan keluarganya dan tidak menunjuk-nunjuk dengan harta beliau. Beliau juga seorang yang pemurah. Ini adalah kerana pada setiap minggu, beliau akan menyedekahkan sedikit wang pada hari Jumaat.
Selain itu, Encik Shaari bin Abas juga merupakan seorang yang suka membantu ataupun lebih dikenali sebagai seorang yang ringan tulang. Beliau gemar membantu penduduk kampung lebih-lebih lagi apabila diadakan kenduri di kampung. Beliau akan bekerjasama bersama penduduk kampung yang lain untuk menjayakan kenduri tersebut. Contohnya, beliau akan bertanggungjawab menguruskan kedatangan para tetamu semasa kenduri. Di samping itu, apabila terdapat masalah di kampung beliau akan turut turun padang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, apabila terdapat masalah kecurian di kampung, beliau akan menyumbangkan buah fikiran tentang cara untuk menangani masalah tersebut. Beliau telah mencadangkan agar dibuat rondaan pada setiap malam secara bergilir-gilir oleh penduduk kampung. Usaha tersebut telah membuahkan hasil apabila kegiatan tersebut semakin menurun dengan adanya rondaan pada setiap malam. Kesannya, kegiatan kecurian yang berleluasa itu dapat dibanteras. Keadaan kampung menjadi aman semula dan bebas daripada kegiatan yang tidak bermoral itu. Sikapnya yang suka membantu itu, menyebabkan nama beliau menjadi sebutan dalam kalangan penduduk kampung.